Press Articles

Utusan Malaysia - GD Express Mahu Kuasai 7 Peratus Pasaran Tahun Depan

Dec 31, 2003

PETALING JAYA 28 Dis. - GD Express Sdn. Bhd. (GDEX), syarikat penghantar ekspres tempatan menyasarkan penguasaan pasaran sehingga tujuh peratus mulai tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Teong Teck Lean berkata, berdasarkan kepada jumlah pasaran semasa penghantaran ekspres yang bernilai hampir RM600 juta setahun, sasaran diyakini dapat dicapai.

Katanya, di Malaysia terdapat empat pemain utama yang menguasai sebahagian besar pasaran di dalam industri ini iaitu Pos Malaysia Bhd, Nation Wide Express, City Link dan GDEX.

"Kedudukan utama masih lagi dipegang oleh Pos Malaysia kerana mereka mempunyai rangkaian perkhidmatan yang luas merangkumi ke seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Teck Lean, syarikatnya berjaya mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan setiap tahun sebanyak 30 hingga 40 peratus. Beliau percaya pertumbuhan itu akan terus meningkat.

Dengan memiliki serangkaian 62 buah lokasi operasi di seluruh negara, GDEX merancang membuka pejabat operasi pertama di negara-negara ASEAN tidak lama lagi.

"Rancangan ini, bergantung kepada kelancaran operasi dan kemampuan kakitangannya untuk bersaing dengan syarikat penghantaran ekspres antarabangsa seperti Fedex, TNT, UPS dan DHL."

Teck Lean berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira untuk bersaing di peringkat antarabangsa sebagai contohnya pengangkutan.

"Jika dilihat Fedex adalah syarikat penghantaran terbesar di dunia dengan mempunyai mobiliti sebanyak 660 buah pesawat, "GDEX pula hanya mempunyai lebih 100 buah trak untuk bergerak di samping penggunaan syarikat penerbangan tempatan seperti MAS, AirAsia dan Transmile Air," kata beliau.

Teck Lean berkata, dengan kakitangan seramai 750 orang di 22 buah lokasi dan pejabat cawangan di bandar-bandar kecil, GDEX dikatakan berupaya untuk menjadi salah sebuah syarikat tempatan berciri antarabangsa.

Berdasarkan hasil kerja dan pengawasan barang-barang yang dihantar, GDEX berupaya mengesan kecacatan operasi kurang dari O.3 peratus, kata beliau.

Menurut Teck Lean, berbanding pada awal operasinya, syarikatnya berupaya menjamin ketibaan barangan di sekitar 65 peratus namun sekarang, 90 peratus dijamin sampai ke tangan penerima.

"Kita mengawasi dari awal penerimaan barangan sehinggalah kakitangan GDEX menyampaikan barangan ke tangan penerima," ujarnya.